JERANTUT : Harga ikan patin muncung Sungai Pahang
mendominasi senarai harga ikan air tawar di negeri ini apabila mencecah RM280
hingga RM300 sekilogram, sekali gus mengatasi harga jelawat yang dijual pada
kadar RM220 hingga RM250 sekilogram.
Bagaimanapun, harga yang tinggi bagi mendapatkan ikan yang boleh dianggap
sebagai identiti negeri itu bukanlah penghalang sebaliknya orang ramai tetap
mahukan ikan berkenaan seraya membuatkan permintaan terhadap patin muncung
meningkat dua kali ganda berbanding biasa.
Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar di daerah ini mendapati patin muncung
pasti menjadi pilihan terutama di hujung minggu iaitu apabila anak penduduk
yang pulang dari perantauan untuk menjalani ibadat puasa bersama keluarga
masing-masing. Di Jerantut, lokasi paling panas mendapatkan ikan air tawar
segar ialah di Pekan Sehari Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Besar Jerantut yang
mula dikerumuni orang ramai sejak awal pagi.
Patin muncung, jelawat, temoleh, tapah, patin perak, patin buah, tenggalan,
gerahak, baung kenderak, baung akar dan kerai adalah antara ikan sungai yang
sering diburu penduduk setempat setiap kali ke pasar kerana rasanya yang enak
jika dijadikan masak tempoyak, pais tempoyak, gulai rom dan masak asam
belimbing buluh.
Seorang peniaga di pasar besar Jerantut, Ruslan Wahab, 54, berkata permintaan
ikan sungai sentiasa mendapat sambutan pembeli walaupun harganya mahal. “Saya
mendapat bekalan ikan dari nelayan sungai di Kampung Pulau Mangsuk, Lada, Batu
Embun, Jerantut Feri dan Kuala Teh. Biasanya ikan sungai yang dijual akan habis
dalam masa sejam saja kerana pembelinya tetap ada walaupun harga ikan sungai
asli cukup mahal.
“Ada kala, nelayan sungai selama ini menjadi pembekal, tidak dapat memenuhi
permintaan kami kerana ada juga pelanggan sudah menunggu di jeti semata-mata
mahu mendapatkan ikan sungai segar. “Harga patin muncung memang mahal sekarang
terutama bagi yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram. Bagi yang
bersaiz lebih besar, harganya murah sedikit tetapi masih melebihi RM200 setiap
kilogram,” katanya.
Katanya, harga bagi ikan sungai asli yang lain seperti temoleh mencecah RM40
sekilogram, juara (RM24), tapah (RM60), patin buah (RM100), tenggalan (RM80),
baung kenderak (RM24), gerahak (RM55), baung akar (RM40), kerai kunyit (RM30)
dan kerai jelawat (RM60).
Katanya, ikan sungai asli sering mendapat permintaan ramai kerana rasa isinya
yang jauh lebih sedap berbanding ikan sungai diternak dalam sangkar. Sumber
http://www.hmetro.com.my
AAP - Amacam ada yang berani memakanya?? Gamaknya berapa harga sepotong ikan
tersebut kalau sudah dimasak gulai tempoyak? Moralnya sila pastikan apa jenis
ikan yang telah anda order sebelum memakanya :) tanya berapa harganya terlebih
dahulu. Mahu jadinya RM280 x 33 KG = RM9,240 ringgit. - Sumber http://akuanakpahang.blogspot.com

